Thursday, April 15, 2010

Hensem sangat...

Kawasaki ninja 150rr ni sangat lah hensem ^_^
bila la boleh dapatkannya ek?

Yamaha TZM 150 ni pun hensem jugak...




Mana lagi hensem??
Mana lagi bersopan-santun di jalan raya??
Mana jugak yang berpelajaran??
^_^

Wednesday, April 14, 2010

Masanya menyelongkar 'Phone'.

Lama sudah rasanya tidak meninggalkan jejak disini...hmmm...kali ini...jejak dari gambar yang  telah diselongkar pada jam 3.03 AM...tapi, sebelum itu, mohon maaf pada sesiapa yang terlibat dalam gambar-gambar yang ada disini. Jangan sekeh kepala saya nanti,..


Ok..tuan empunya badan ni namanya Atul ^_^  Gambar ni diambil semasa berada di Gym...Cute x budak ni? 


Ini pula gambar Syahid bersama budak-budak (yg menyibuk nak main badminton gak!*)...budak yg berbaju biru tu anak En Zuraimee(hensem budak ni...tp ayah dia x...hehehe) So, drpd gambar ni dpt jugak lah dikonklusikan yg Syahid memang sesuai nak mengajar sek ren =P


Hah! budak yg pakai baju hijau tu anak En Bad (Lecturer PJ)...budak ni ada bakat main badminton...mulut pun ok as dia respect kat org dewasa bila berkata-kata... kira beradab la budak ni...(pandai En Bad ajar anak...)  =) 
hohoho...syahid lawan dgn budak2 ni...



Ini pulak reaksi Syahid apabila game habis..hehehe
Bahagianya muka dia... ^_^


Hah! Tuan empunya badan yg cantik lagi bergaya dan bertudung hijau...itulah Lecturer Language Description....CANTIK seh ~ memang cantik orgnya...luar dan dalam ^_^ 
Ini meja Pn Sue...kalau nak tau dia ada ke tidak...senang je...kalau meja tu sgt tersusun dan kemas maksudnya dia xda...hehe
ada lagi satu meja...memang sukar dikenal pasti keberadaan tuannya...hmmm...faham2 sendiri la yek! =P (x kisah pun..)


PULAKO!! masa ni Pn Che Som memerhatikan kami2 bermain guli...x semua baling guli tu kena...maklumlah semua main XbOX dan PS2 jek =P

Betapa riangnya Anith bermain guli..tapi..Syahid agak ketensionan disitu =P
Syahid! apalah yg hang pikirkan??

Gambar ni sgt lah comel!! ^_^
Syahid tgh pening masa ni dan mintak active fast....hmm...dia x tau pun
kwn dia yg namanya Shiqin ni pun tengah pening jugak...


Yen2 nampak sangat tak berpuas hati ketika game berlangsung...hehehe
Yen2!! apalah yang berada di benak akal mu itu?? =P

Kami2 mencari2 guli yang bertempiaran* dan Pn Che Som mencari2 mempelam...



Sepetang bermain guli....x wajib kalau x bergambar =)


Gambar ni best! banyak cerita kat dalamnya (reka la sendiri yek!) ^_^...kesian kat Syahid sebab dibuli...tp Syahid sangat CUTE!!! dan Zel! muka hang sangat lah "Witch" huhuhu



En Zul!! ada kawan saya x jumpa foudation so, dia guna bedak sejuk!! hehehe =P

Cik Kak Oi!! org main guli kat atas tanah...yg kamu semua tengok atas tu kenapa??


Mohon maaf kepada sesiapa yang terlibat dalam gambar2 diatas...
Itu saja untuk jejak kali ini ^_^

Tuesday, March 23, 2010

Hari ini hari Isnin.

Hari ini hari Isnin. Hari permulaan selepas berlabuhnya cuti mid-sem. Hari dimulakan dengan perhimpunan yang sememangnya membosankan. Pengacara bagi perhimpunan tersebut sangatlah "BERMOTIVASI TINGGI".Hmmm...boleh juga saya katakan seperti mahu cari gaduh? Nada suaranya sangat tinggi. Mungkin juga sudah terbiasa dengan bahasa ibundanya yang seringkali bernada tinggi. Saya tidak kisahkan sangat kerana banyak lagi perkara yang lebih berat dari itu yang perlu difikirkan.

Setelah selesai perhimpunan, saya pulang ke bilik mengambil barang dan terus menghala ke KOOP, membeli sandwich dan SARAPAN!! Saya sangat lapar!!. Kemudian, saya meluru ke kelas. Hmmm...kelas pendidikan Islam yang agak tegas dan dingin pada permulaannya dan kembali seperti biasa pada pengakhirannya. Pada hari Isnin ini juga, kelas Social Studies dan English Studies tiada. Jabatan Bahasa juga dikunci. Entah ke mana para pensyarah kami pergi...tapi semua orang kelihatan gembira. Mungkin mood belajar tertinggal dirumah.

Pengembaraan saya tiba di hari Isnin ini. Saya sangat sesak nafas pada hari ini. Kata G, muka saya nampak tension....stress. Mungkin betul. Saya cuma berfikir terlalu banyak. Saya tak seperti sesiapa. Banyak yang perlu difikirkan dan tidak boleh untuk diperkatakan sebab saya sendiri tiada perkataan untuk itu. Kadang kala, saya sendiri tidak tahu apa yang saya fikirkan. Mungkin juga sebab masalah itu terlalu banyak untuk difikirkan...sebab itulah saya sendiri tak tahu apa yang saya fikirkan. Entah la....saya betul-betul tidak tahu!.

Pengembaraan untuk hari Isnin sangat menarik kerana saya agak MENGAMUK! Tapi tahapnya cuma 20% sahaja. Tidak dikeluarkan semuanya. Tidak elok untuk kesihatan. Lama sudah, saya tidak mengamuk. Oh ya! saya agak menakutkan Ika, G, dan seorang senior. Syahid pula...hmmm...stay away saja sebab dia dah faham . Sorry guys; "Kan dah kata, Aku kalau marah memang teruk. So, janganlah buat aku marah..."   Sebenarnya saya perlu meletup pada petang hari Isnin ini sebab kalau tidak meletup, saya rasa saya boleh kena darah tinggi. Tengah hari saya sudah sesak nafas dengan macam-macam yang jadi, petang pula, perkara yang saya sangka sudah baik-baik saja bertukar SANGAT TERUK!! minta maaf la...tapi soal kerja, memang saya tak suka dibuat begini. Kerja maksudnya KERJA!! main maksudnya MAIN!! mudah kan?
Petang Isnin, saya call mak, Mak, seperti biasa dengan ayat standard nya. "Sabar ya kak, lain kali jangan kerja dengan orang sebegitu....buat sendiri pun tak apa."     Haiyoo...buat sendiri?? Buat apa ada GROUP WORK?? haiyooo * tepuk kepala* Rasa tak ternilai pun ada sebab puas saya buat eye bag ni...dan kerja still hancus~ hmmm...sorry la...no more second chance.

Friday, February 19, 2010

Cuti Kali ini

Cuti kali ini sama seperti cuti-cuti yang lalu. Cuti kali ini juga terasa cepat sekali. Berlalunya cuti kali ini bagaikan lajunya darah mengalir ketika berada di Taming Sari (Melaka).

Seperti biasa, setiap kali cuti..rutin harian saya adalah menghantar mak ke tempat kerja. Itulah kerja saya selama seminggu ini. Tak pernah menyesal dan tak pernah mengeluh. Saya gembira dengan itu.

Selama cuti ini, saya rindukan G. Mungkin sebab saya senang berkomunikasi dengannya dan melepaskan segala yang terbuku di hati. G org yang baik...insyaAllah baik untuk selama-lamanya. Semoga juga dia dijodohkan dengan orang yang baik :)


Cuti ini juga saya dapat teman yang baru. Teman yang banyak merepek (jgn marah). Teman yang seperti cermin kepada saya. Kami punya banyak persamaan dan kami punya pengalaman yang tidak semua orang ada. Kami berborak dan memotivasikan diri sesama kami. Dia adalah teman yang saya fikir tidak wujud tapi hadir sekarang. Semoga dia tabah dan cekal dalam menjalani hidupnya...dan semoga Allah memberikan dia jodoh yang memahami tanggungjawabnya. ;)

Esok saya akan pulang. Pulang ke keadaan asal. Belajar untuk mengajar dan saya akan ada banyak masa untuk G...tapi kurang pula untuk teman saya yang baru itu. Tapi saya tetap tahu yang Facebook dan phone sentiasa ada untuk MEREPEK :)


p/s: Teman mahupun sahabat...walaupun rank dia berbeza...tetap sahaja ada test buat kamu...yang sudah lulus..saya ucapkan tahniah :)

Sunday, February 14, 2010

Mata ini.


Lihatlah mataku.
Lihatlah dengan jujur dan ikhlas sebagai sahabat.
Kau akan tahu, bagaimana aku menangis sendiri selama ini.
Merintih di tikar sejadah di malam hari.
Merintih di meja belajar sewaktu kau dengan kehidupan sendiri.
Aku tidak akan pernah menyusahkanmu wahai sahabat.
Aku tetap akan sendiri.
Sebab itulah aku.
Tidak akan pernah menyusahkan.
Selagi mampu untuk berdiri sendiri, Aku tetap akan sendiri.
Walau seperit mana kehidupan itu, Aku tetap sendiri.
Tidak akan pernah untuk menyusahkan.
Sebab sesuatu itu tidak akan datang bila aku tidak pernah mampu untuk itu.

Dua hari.

Dua hari itu mematangkan,
Dua hari itu mengubah,
Dua hari itu membina,
Perit dan sukar....itulah keadaan dua hari itu.
Keadaan dua hari itu...sangat melemahkan.

Hidup ini begitu,
Hidup ini berkisarkan pengalaman,
Hidup ini berfalsafahkan tanggungjawab dan amanah,
Tapi berapa ramai yang hidup dengan falsafah itu?
Tapi berapa ramai juga yang sedar dengan falsafah itu?

Saya iri hati,
Saya rasa sedih,
Mengapa saya sendiri dengan falsafah itu?
Sakitnya rasa sendiri,
Sakitnya untuk rasa tiada yang mampu membantu.

Saya ingin menangis,
Tapi apa yang saya dapat?
Saya ingin meraung,
Tapi apa yang saya dapat?
Saya tahu dengan menangis dan meraung, tidak ada yang saya peroleh.

Justeru itu,
Saya ketawa,
Saya banyak berkata-kata,
Saya nampak begitu ringan dengan masalah,
Saya nampak gembira dan senantiasa begitu.

Tapi saya tetap juga menangis,
Hanya dalam hati,
Tersorok jauh di sudut penjuru hati.
Di simpan disitu,
Tanpa ada yang menyedari.
Kecuali saya sendiri.


AnakJohor
NorashiqinAli.

Kisah G&M

Dahulu...Garfield dan Munchiqin adalah tidak logik untuk dijadikan sahabat dan apatah lagi untuk berkongsi kotak batu yang berpenjuru empat. Munchiqin tak rasa yang Garfield tu sama karekter dengannya dan Garfield juga begitu.

Entah macam mana, keadaan mula mengubah persepsi. Persepsi tersebutlah yang membuatkan hari-hari Munchiqin semakin bewarna-warni dengan gelak tawa dan keadaan merajuk yang harus dipujuk. Salah Munchiqin juga yang selalu mengusik...dan Garfield akan merajuk. Adeh~..merajuk adalah perkara yang tidak digemari Munchiqin. Sebab Munchiqin memang tak pandai nak pujuk. Ada satu kes, Munchiqin berikan gula-gula dan coklat untuk menurunkan suhu Garfield. Memang SAH-SAH cara tu tak 'up to date' sebab Garfield tu dah besar. So, Garfield hanya terima TEH AIS sahaja atau mungkin makanan kegemarannya; jenama EK.

Semalam, adalah hari permulaan kepada kebebasan yang bersifat sementara. Hari untuk semua rakyat IPHKM a.k.a Institut Permulaan Hidup Kucing Malaysia. Disini Munchiqin dan Garfield belajar. Bukan sekejap dan bukan pula lama. Ia adalah proses yang perlu dihadapi semua spesis kucing. Tapi, disebabkan hari kebebasan tesebut, Munchiqin mula rasa tertinggal sesuatu di IPHKM. Rasa risau kerana tinggalkan Garfield keseorangan. Risau kalau-kalau Garfield jatuh di tandas semasa ketiadaan Munchiqin. Risau kalau-kalau Garfield terlajak tidur dan tertinggal bas untuk pulang menghabiskan hari-hari kebebasan. Mujur, Garfield sampai dengan selamat. Risau itu mula hilang tadi, selepas Garfield menelefon Munchiqin dan mengatakan dia sudah selamat tiba di terminal. Syukur, Alhamdulillah.

Jujur...Munchiqin memang rindukan Garfield masa dalam bas untuk pulang ke Johor...walaupun penguin ada dalam bas yang sama. Nak tau apa yang Munchiqin buat? Munchiqin mendengar lagu kegemaran Garfield iaitu -Long Night-.

Tapi petang tadi, Munchiqin adakan test untuk Garfield. Sekadar nak menguji sifat yang ada pada Garfield. Tahniah buat Garfield kerana test itu mendapat nilai yang tinggi. Syabas! (Reaksi anda agak diluar kotak fikiran saya.)

Disebabkan zaman yang moden ini, Munchiqin pun menggunakan saluran seperti YM,SKYPE dan FACEBOOK untuk berjumpa Garfield. Rindu terubat gitu~ CEEWAH!
Berjumpa d alam maya juga memerlukan aksi *baling-baling* dan merajuk. Memang tidak sah kalau tidak ada adegan tersebut. Ini lah yang dinamakan persepsi berubah. Daripada dahulunya yang hanya bermonolog dan berfikir sendiri tentang satu sama lain...sekarang Garfield & Munchiqin berkongsi kotak batu yang berpenjuru empat. Mudah-mudahan akan bersama-sama ke Sabah atau Sarawak untuk posting.
InsyaAllah.

Sekian dahulu,

AnakJohor
NorashiqinAli

Thursday, February 4, 2010

Kisah 3 Februari 2010

Agak lama saya tidak menulis di blog. Kepadatan jadual sangat mengepung saya dari menulis di sini.
Oh ya! Saya baru pulang dari bilik kakak yang menjadi inspirasi kepada saya. Gelak tawanya sangat mewarnai hari saya. Orangnya ceria. Itu yang membuatkan saya suka bergelak tawa dengannya. Anak kelima dari enam adik beradik. Mungkin itu yang membentuk personalitinya. Orangnya tidaklah tinggi dengan ketinggian tapi dia tetap tinggi dengan taraf senyuman dan gelak tawa dirinya yang tersendiri.
Sakit perut saya dibuatnya. Gelaknya tidak pernah kering dan saya gemarkan untuk bergelak seperti itu. Dahulu, saya hanya lihat dia dari jauh. Jauh sungguh. Dari tingkat empat ke tingkat dua. Sekarang, dia di tingkat empat dan saya pula di tingkat dua. Saya kebiliknya bertujuan untuk menyuruh dia memilihkan baju. “Kak, nanti saya datang bilik akak boleh? Nak suruh pilihkan baju.” Kata saya yang kemudiannya berbalas “baju apa?”. Kemudian saya membalas kata-katanya dengan senyuman dan jawapan yang mantap iaitu “ Baju Nikah!”.
Dalam sejam juga saya berada dibiliknya. Macam-macam cerita keluar. Macam-macam gaya gelak juga terserlah. “Orang perempuan kalau jumpa orang perempuan memang begitu...lagi-lagi kalau sekepala” ayat itu sering kedengaran dan saya sangat menyetujuinya.
Kakak yang tinggal di blok B 412 itu sangatlah pemurah dengan gelak tawanya. Saya rindukan gelak seperti itu. Gelak yang dah lama sangat tidak menyinggah di benak hati saya. Gelak saya bersama-sama dengan orang yang tersayang. Saya jauh disini dan mereka pula disana. Utara dan selatan menjadi pemisah. Tapi rindu ini yang membuatkan kami teguh menjalani hidup ini. (Nampaknya ayat semakin beremosi dan mempunyai mood yang tersendiri...)
Setelah jauh saya menulis, lupa pula untuk menyelitkan nama pemilik gelak tawa yang mewarnai hari saya itu. Pemiliknya ialah SITI SALWA BINTI LUQMAN HAKIM. Pemilik yang berasal dari Perak ini sangat mewarnai hari saya dengan gelak tawanya.
“ terima kasih kak! Sebab mewarnai hari-hari saya dengan gelak tawa. Saya selalu gelak untuk melupakan hati yang merintih. Saya banyak berkata-kata atas sebab hati ini sering menangis sendiri. Saya cuba nampak teguh dan utuh. Tapi pada dasarnya ia tetap lemah dan longlai. Teguhnya saya untuk hari-hari yang mendatang adalah kerana berpegang dengan kata-kata “ tanggungjawab perlu dilaksanakan sebelum mati itu menjengah tanpa memberikan tanda.” Saya tahu saya akan mati. Tapi kalau boleh memang saya minta bukan saya yang pergi dahulu sebelum menjalankan tanggungjawab saya dengan sempurnanya. Tanggungjawab ini berat. Ia lebih berat dari beras yang pernah saya pikul. Ia juga lebih berat dari hati yang mula terasa ingin menyayangi. Tanggungjawab memang berat. Ia perlu dipikul dengan berhati-hati agar tidak jatuh dan akan dipertanggungjawabkan atas kecuaian. Walaupun saya ini perempuan, yang selalu dikatakan terlalu emosional, saya tetap berpegang pada kata-kata “Mind over body and not body over mind”.

p/s: Garfield saya merajuk tadi. Susah untuk saya memujuknya. Tapi saya memang banyak akal. Jadi, saya buatkan memo untuknya di dalam laptopnya dan meminta dia membacanya dengan cara saya sendiri. Kemudian, saya minta Pravina membelikan Root Beer Float untuknya. Sekadar untuk memujuk...saya hanya buat apa yang saya rasa orang akan tersenyum dan berubah perlakuan dalam masa 15 minit . Dia sangat sekepala dengan saya...(mungkin?) dan saya selalu bercakap melebihi had yang dibenarkan. OK, memang itu adalah salah saya dan sebab itu jugalah Garfield saya itu merajuk. Tapi Garfield dah OK. Dah tidur pun. Nyenyak rasanya...sebab saya dah pun alihkan handphonenya dari katil ke atas meja, laptop yang tidak di hibernatekan sudah pun dihibernatekan, lampu yang tak tertutup sudah ditutup dan lagu yang mendodoikannya juga saya tutup. Rupa Garfield saya tu sangat keletihan. Penat sangat rasanya.

p/s: Jam menunjukkan pukul 1 pagi. Saya ingin berhenti disini dan membaca nota pula...setengah jam pun saya sudah berpuas hati...InsyaAllah..MIND OVER BODY..!!!


NorashiqinAli
AnakJohor

Saturday, January 30, 2010

Mimpikan dia.

Saya mimpikan dia. Tetapi saya tidak pernah bertemunya. Malah saya juga tidak pernah mengenalinya. Pelik, tapi sudah banyak kali saya bermimpikan dia. Dia, seorang lelaki yang selalu hadir dalam mimpi saya. Namun, wajahnya tidak pernah dia perlihatkan. Selalunya, yang hadir hanyalah bayangannya. Entah siapalah gerangan orangnya. Mungkinkah dia orang yang selalu saya pohon didalam doa? Atau mungkinkah dia adalah jawapan bagi saya untuk permintaan yang saya inginkan untuk hadir pada 10 tahun yang akan datang? Dia tidak pernah bersuara. Tapi dia menimbulkan tanda tanya pada saya. Dia hadir bukan sekali tapi banyak kali dan itu yang membuatkan dia menjadi persoalan buat saya.
“Siapakah dia?....”

NorashiqinAli
AnakJohor.

Perhatikan Orang.

Perhatikan orang, itu hobi saya. Banyak yang saya belajar dengan hobi itu. Macam-macam orang yang saya perhatikan. Ada yang boleh saya ikuti dan ada yang boleh saya teladani. Saya percaya pada prinsip gunakan mata melebihi mulut. Mungkin juda sebab itu saya tidak banyak sangat bercakap.
Akhir tahun 2009, saya terlihat seorang kakak di blok B. Di aras yang saya tinggal untuk tahun ini. Saya lihat dia bertelekung setiap kali azan berkumandang dan saya tersenyum melihatkan dia. Betapa sejuknya hati melihatkannya berjalan selangkah demi selangkah menuju ke tempat yang tidak semua orang mampu untuk menghadirkan diri walau hanya berjarak sepuluh langkah. Bukan mudah untuk menghadirkan diri ke tempat tersebut. Saya tahu itu dan saya merasakannya. Kakak itu sehingga hari ini masih lagi dengan rutinnya. Masih lagi menghadirkan diri ke tempat tersebut.
Dahulu, aku hanya bermonolog dan tertanya-tanya siapakah kakak itu. Tetapi sekarang ini, saya sudah mengenalinya. Namanya semanis orangnya dan semanis senyumannya. Manisnya senyuman itu menghilangkan rindunya saya pada mama. Senyuman mama yang sama manis dengan senyuman kakak itu. Hari ini kakak itu tidak ada disini. Dia dan Shahid ke tasik untuk Kem Kepimpinan.
Oh ya! Kakak ini tidak boleh mendengar sejenis bunyi. Sejenis bunyi itu akan membuatkan dia ‘geli’. Tetapi, saya tetap ‘nakal’ dan suka mengusiknya dengan bunyi tersebut. ;-)
Dulu, saya perhatikan dia. Sekarang saya mula mengikut tabiatnya. InsyaAllah tabiat ini akan kekal selama-lamanya. Nampaknya hobi saya tidak sia-sia.


NorashiqinAli
AnakJohor.

Kisah sabtu, 30 Jan 2010

Hari ini hari yang malas. Lebih khusus untuk saya katakan, saya yang malas. Malas untuk bangun awal pagi, malas untuk bersukan, malas untuk buat assignment dan malas untuk ulang kaji. Malas sungguh saya hari ini. Penyakit yang sangat berbahaya ini telah menyelubungi setiap sudut dalam badan saya. Nasib baiklah ia hanya ‘bermaharaja lela’ sehingga selepas Asar. Ubat yang terbukti berkesan terhadap saya sudah dikenal pasti dan akhirnya penyakit ini dapat dilumpuhkan sedikit demi sedikit. Ubatnya mudah iaitu membasuh baju! Kedengaran agak pelik tapi itulah ubatnya. Bukan setakat membasuh baju, lantai pun dimopnya dan meja kelihatan lebih teratur daripada biasa.
Hari ini, hampir semua orang yang saya kenali tidak ada disini. Karmen pulang ke Ipoh, Shan & Shoba pulang ke rumah Shan untuk menyambut Thaipusam, Shahid pula ada di tasik...menjalani kem kepimpinannya. “Agak bosan bila tiada sahabat disisi” Kata saya di dalam hati. Dulu saya tidak pernah untuk kisahkan tentang wujudnya sahabat disisi. Tetapi, kini, emosi saya berfungsi pula. Berfungsi untuk mula rindukan sahabat.
Oh ya! Hampir senja tadi, Yam pulang daripada Alor Star. Selimut yang dibelinya sangat ‘cute’. ‘Cute’? Saya tak faham apa yang cute dengan selimut tersebut tapi itu yang dikatakan Yam. Bukan setakat selimut yang ‘cute’ dibelinya, dua pasang kasut tumit tinggi juga menjadi barangan pilihannya khas dari Alor Star. Bertuahlah sesiapa yang dapat Miss Maryam sebagai cikgu. Mesti kamu akan sentiasa menhadirkan diri sepenuhnya didalam kelas kerana dia memang comel! Secomel Garfield saya. Sekarang ni, Garfield saya sedang makan ayam goreng...[makan ayam goreng malam-malam akan menyebabkan dia semakin cute :-p ] dan dia juga sedang ber ‘YM’.

NorashiqinAli
AnakJohor.

Monday, January 25, 2010

Coke dan Saya

Bila pening...Bila bingung...Bila marah...
saya akan minum...bukan minuman keras... itu saya sangat pasti. Tidak kisah apapun yang saya fikirkan, air menjadi teman. Ia menjadi tabiat. Tabiat yang sukar untuk dibuang...lagipun saya fikir, ia adalah perkara yang baik untuk saya. Sekurang-kurangnya saya hanya minum air dan bukan buat yang bukan-bukan.

Hari ini Coke menjadi teman. Ia menemani saya setelah habis kelas pada pukul 5 petang tadi. Terima kasih Coke! Kamu memang teman yang baik. Tidak banyak bercakap...tapi sangat menenangkan. Berfikir sambil meneguk Coke. Saya sukakannya!
Lama rasanya saya tidak berfikir sambil Coke disisi....dan hari ini Coke menjadi teman berfikir saya.


p/s: Sudah dua hari saya tidak mengeluarkan peluh di gelanggang basketball...waktu agak mengekang...situasi semakin diluar kawalan dan kaki juga sering sakit-sakit.

p/s: Oh Macbeth! saya sangat berharap saya boleh memahamimu dengan sekali baca. Mungkin kamu tidak mesra denganku...saya tetap akan membacamu!

p/s: Garfield saya yang sangat comel baru sahaja pulang dari kafe dan dia juga minum Coke...adakah sebab untuk meminum Coke itu sama dengan saya?
Mungkin tidak...


NorashiqinAli
AnakJohor


Ilmu itu harus dikejar!!

Thursday, January 21, 2010

Kisah 21 jan 2010

Hari ini saya rasa agak berat...lebih berat dari hari-hari biasa kerana tanggungjawab hari ini ditambah lagi. Tanggungjawab untuk menanggung sesuatu yang sangat besar. Menangis saya, sewaktu selesai solat asar. Berzikir memuji illahi bertujuan memujuk hati. Syahid...entah kemana dia pergi. Barangkali bersama kakak comel membuat air untuk majlis tahlil di surau pada malam hari. Yang menunggu saya adalah Anith.Seorang yang nampak biasa tapi kata-katanya penuh hikmah yang bersulamkan kata-kata yang melucukan hati. Kemudian, berjalanlah kami ke blok masing-masing. Sampai di bilik, saya keseorangan setelah Yam keluar ke cafe....bersama Kecik barangkali.

Di bilik, kata-kata masih memujuk hati. Keras sungguh hati ini. Ia sering menangis dan merintih akan tanggungjawab yang berat yang harus dipikulnya. Jujur, memang berat tanggungjawab saya. Mendidik dan membentuk serta kelak bakal menyara adik-adik dan mama. Ia bukan mudah untuk seorang perempuan macam saya yang pergerakannya terbatas. Terbatas sungguh. "Lima tahun saja lagi..." saya perlukan kesabaran di dalam hati. Saya juga perlukan hati untuk ikhlas dalam setiap yang saya lakukan. Saya sangat memerlukan itu. Hanya Allah tempat saya mengadu. Hendak bercerita dengan mama, saya takut akan merunsingkannya. Hendak bercerita kepada sahabat, saya sendiri tidak mampu untuk bercerita dengan mereka.

Biarlah masa berlalu... "sekejap sahaja lima tahun tu..." Saya tidak kisah bekerja kuat. Memang itu yang saya harus lakukan dan itulah juga tanggungjawab dan amanah untuk saya. Bekerja kuat untuk menyara orang yang saya sangat sayangi. Mudah-mudahan Allah memberkati umur saya dan memurahkan rezeki saya.
~Amin~


NorashiqinAli
AnakJOhor

Sakit yang menyerang.

Sakit kaki mula menyerang. Bukan saya seorang sahaja tapi ada ramai lagi yang mempunyai nasib yang serupa. Sakit ini bagaikan ibu yang baru melahirkan (macam mana pula saya tahu rasa sakit ibu yang melahirkan?? Saya sendiripun agak kebingungan...)
Sakit ini gara-gara sukan yang berlebihan. Berlebihan sangat pada hemat saya. Hari yang sungguh meletihkan. Itulah hari Selasa. Setiap minggu pada hari yang sama. Keadaan tidak akan berubah sekiranya jadual tidak diubah. Hendak mengadu kepada Abang Nasa, memang itu diluar kawalan dia. Saya tahu dan saya faham. Tapi saya tetap berharap agar jadual itu ditukar. “tukarlah...penat sangat rasanya...lepas waktu English Studies bersambung dengan kelas PJK dan bersambung pula dengan GERKO hoki...” Itu semua belum lagi dicampur dengan kepantasan kaki melangkah mengejar waktu yang sepantasnya berlalu. GERKO...saya harus awal...KAMI harus awal. Jika tidak dicemuh dengan kata-kata yang agak menyakitkan hati...sama seperti sem yang lalu...jikalau tidak dicemuh sekalipun...ada saja surat-surat amaran yang akan sedia ada untuk kami. Itu memang patut dan saya faham. Itu namanya disiplin yang bukan selicin belut untuk saya lepasi. Saya akur dan saya patuh kerana saya yang memohon masuk ke sini untuk belajar erti hidup. Erti hidup yang sememangnya sukar pada awalnya dan insyaAllah mudah pada akhirnya.
1) p/s: kepada Sir Idris...Jagalah kesihatan wahai KJ ku. Sakit itu perlukan teman. Teman kepada sakit adalah sabar. Bersabarlah dan jangan lupa, ubat juga perlu dimakan.
2) p/s: Sewaktu KJ batuk dihadapan kelas, memori lama kembali menerjah...teringat seketika saya kepada ayah. KJ agak seiras dengan arwah ayah. Banyak berkata-kata...juga sama seperti arwah ayah. Jadi, kepada sesiapa yang punya Ayah...jagalah ayahmu itu. Kasihi lah dia selagi dirinya masih dihadapan matamu supaya kamu tidak menyesal kelak.Telefonlah ayahmu itu bukan untuk meminta wang, tetapi untuk berbicara dengannya...dan jangan sampai...kamu menelefon ayahmu itu ketika dia tidak mampu berbicara lagi.

Saturday, January 16, 2010

Bila rindu.

Bila rindu..saya makan Mc Donald. Sebab lama betul dia tak belikan saya Mc D bila saya belajar hingga larut malam.

Bila rindu...saya minum kopi. Sebab dulu, saya selalu buatkan dia kopi bila dia nak ke tempat kerja.

Bila rindu...saya membaca. Sebab hobi dia dan saya adalah membaca. Saya rindukan saat membaca dengannya...membaca dan kemudian berhujah lantaran tidak sependapat . Saya juga rindukan hujah-hujahnya.

Bila rindu...saya menghentam bola basketball...sekuat hati sambil menangis di dalam hati...biar tiada yang nampak kerana itu lebih baik. Sebab...itu adalah tabiat saya...(menangis tapi tiada siapa yang akan lihat walaupun roommate saya ada di dalam bilik.!!)

Bila rindu...saya akan menulis. Tidak kisahlah apa pun...saya akan menulis...lagu, poem mahupun blog. Sebab itu jugalah blog saya seringkali berbau EMO.

Bila rindu...saya akan bacakan Yaasin untuknya...dan sekarang saya cuba menjadi anak yang solehah biar setiap ayat yang saya baca dan setiap doa yang saya lafazkan untuknya akan deterima Allah.

Dan sekarang, bila rindu...saya letakkan gambar ini;







Di desktop saya...supaya saya ingat diri yang saya juga akan nanti menyusulnya ke sana...tidak akan pulang...sama seperti dia.




NorashiqinAli
AnakJohor

Hanya senyuman.

Kadang-kala senyuman itu lebih bermakna daripada ajakan yang memaksa. Senyuman yang ikhlas dan penuh dengan makna yang tersirat. Saya sukakan senyuman itu. Senyuman yang membawa kepada perubahan dan kebaikan. Senyuman yang sempurna untuk mengajak meniti jalan yang tenang. Senyuman itu...sudah lama tidak kunjung tiba di setiap ukiran manis jiwa manusia. Hanya beberapa hari yang lepas, saya menemukan senyuman itu. Tidak jauh dan tidak pula dekat. Tapi senyuman itu datang dari orang yang saya sayangi. Bukan kekasih mahupun teman tapi dia lah sahabat yang penuh dengan senyuman dan gelak tawa yang menghibur hati ini. Orangnya tidaklah setinggi mana tapi hanya saya yang tahu betapa tingginya dia dimata saya. Orangnya juga penuh dengan sifat Syahid dalam diri yang juga seunik namanya. Mungkin ada yang mengenalnya dan mungkin juga tidak. Tapi saya akan tetap mengenalnya walau dari jauh sekalipun. Mata sahabat tetap dapat melihat sahabatnya (TAPI...kerabunan ayam saya tak dapat dielak...sorry kalau tak nampak bila malam menggantikan siang.)
Senyuman itu...ia menenangkan hati saya hingga ke hari ini. Senyuman itu adalah permulaan kepada perbuatan saya yang agak lain dari biasa...pada saya ia memang lain...perbuatan yang dahulunya saya tidak pandang...tapi sekarang...itulah yang saya lakukan dan saya gembira dengan itu. Senyuman juga pengikat antara jiran. Jiran disebelah rumah mahupun jiran disebelah bilik. Senyuman juga adalah permulaan praktikalnya 1 Malaysia (Macam saya, Shoba, Karmen, Shan, dan Goh...kami adalah 1Malaysia!!) Senyuman juga lah yang membina hati-hati menjadi patuh kepada hakikat kehidupan dan senyuman juga yang membuat senior dihormati junior dan sebaliknya. Akhir sekali, senyuman itu adalah ubat yang paling manis. Praktikkanlah dalam kehidupan seharian...semoga sepahit mana laluan kita...senyuman tetap menjadi antibiotiknya. Teruskan hari-hari yang mendatang dengan senyuman terukir dibibir dan bukannya masam mencuka yang membuatkan kita nampak lebih TUA!!

NorashiqinAli
AnakJohor

Thursday, January 14, 2010

Tumpahnya air.

9.45 am...tumpahnya air keatas kertasnya sir asmadi oleh ikan.

Kejadian berlaku diluar kawasan Pusat Sumber. Oleh sebab terlalu teruja dengan ceritanya ikan mengenai aktiviti renangnya. Dengan tidak sengajanya ikan telah menumpahkan air diatas kertas 'task' Sir !!!




NorashiqinAli
AnakJohor

Hijaunya jalan itu.

Hijaunya sawah padi di sini sangat menenangkan jiwa. Begitu juga dengan alunan lembut sang bayu. Hari ini hari yang tenang. Malam ini adalah malam yang agak tenang. Teringat seketika apabila saya di kelas Social Studies pagi tadi. Kelas yang seringkali membuka minda dan mata untuk mempersiapkan diri berdiri sendiri diatas kehidupan sendiri. En Zul ; orangnya mempunyai pelbagai pengalaman untuk dikongsi bersama. Dia adalah seorang pensyarah yang banyak bersyarah mengenai diri seorang guru itu sendiri. Oleh sebab pengalaman yang dikongsinya itu, hati ini sedang mula membuka dan menerima profesion yang bukan pilihan pertama. Jikalau bukan kerana Mama, saya tidak akan berada jauh di utara tanah air. Mama lah yang menyarankan...caranya tidak memaksa tapi saya tetap rasa terpaksa. Itu dulu...lima bulan yang lalu. Kini, saya di sini di sem 2 di utara tanah air...cuba menghadirkan hati.

Hijaunya jalan itu menenangkan jiwa. Jiwa yang sibuk barangkali. Sibuk mengejar apa yang tidak terkejar. Hijaunya jalan itu ada disini. Ketenangan itu juga ada disini. Mungkin hijaunya jalan itu belum pasti. Tapi saya tetap berusaha menuju ke jalan tersebut...Hijaunya jalan itu...akan saya kecapi. Jangka masa lima purnama agak lama untuk membina jalan tersebut. Jalan yang kukuh di atas paksi yang tidak mudah roboh. Jalan itu berliku...seliku ular yang di patuk...seliku juga ingatan yang memudar. Siapalah manusia jikalau tidak mencuba...siapa jugalah saya jikalau tidak berusaha. Mungkin angan-angan akan jadi realiti tapi cita-cita tetap menjadi realiti jika kita teguh dengan apa yang kita mahukan. Teguhkanlah apa yang kita fikirkan...mudah-mudahan ia akan menjadi realiti walaupun ia sesukar merentas lautan pasifik.

Hijaunya jalan itu memanggil untuk bersama-sama menikmati ketenangan panorama tersebut. Panorama yang hanya dapat dilihat dengan mata hati. Mata hati yang setajam pedang hunusan para pahlawan. Mata hati yang dapat membezakan baik buruk sesuatu perlakuan. Mata hati yang ihsan terhadap anak bangsanya sendiri... dan mata hati yang tidak membutakan mata dirinya sendiri.


NorashiqinAli
AnakJohor.

Thursday, January 7, 2010

Malam yang bertemankan Surah Yaasin.

Sungguh dingin malam ini. Malam yang bertemankan surah Yaasin bersama linangan air mata yang menemani rindunya hati. Rindunya sang anak kepada ayahnya... Rindunya sang anak kepada ibunya..dan rindunya sang anak kepada hari-hari yang terindah bersama-sama mereka. Hari yang diinginkan untuk kembali menerjah kehidupan setiap saat. Namun, kehendak hati tidak semua dituruti. Ini kerana tidak semua kehendak hati memberi kebaikan kepada kita."Hanya Allah sahaja yang Maha mengetahui setiap perkara dan setiap satunya ada maksud tersirat dan tersurat". Itu kata-kata peneman jiwa, disaat jiwa memberontak menginginkan sesuatu yang pasti bukan laluannya. Laluan kita telah ditetapkan. Hidup lawannya mati. Sihat lawannya sakit. Senang lawannya susah. Dunia ini berputar, seputar waktu yang memutar setiap detik. Mengira tanpa henti, setiap saat tanpa jemu. Itulah kehidupan.

Hari ini masa semakin pantas. Berlalu dan terus berlalu. Ia meninggalkan saya sendiri menyendiri dihadapan laptop kesayangan yang sering menemani tanpa keluh-kesah. Hari ini juga hari yang dingin dengan cuaca yang tidak menentu di Utara tanah air ini. Tetapi dinginnya hati untuk hari ini...hanya saya yang tahu. Sahabat baik saya juga belum tentu tahu yang hari ini adalah hari yang agak dingin buat saya. Bukan saya tidak ingin berkongsi kepada dia. Tapi saya tidak akan membebankan orang dengan masalah saya walaupun dia akan kata ia bukanlah menjadi suatu bebanan buat dia. Saya bukan hidup untuk memberi bebanan. Saya tahu banyak lagi perkara yang lebih penting untuk difikirkan dan dilaksanakan. Kadang-kadang masalah hanya memerlukan waktu untuk menyelesaikannya. Jadi, saya akan menunggu waktu itu tiba.

Tangisan bukanlah penawar kedinginan hati tetapi sesekali, ia sangat melegakan. Tangisan yang seiring dengan bacaan Yaasin yang bersama-sama hati yang sangat berharap. Ia sangat melegakan. Sungguh melegakan. Lama rasanya saya membiarkan hati terus mendingin tanpa perhatian saya. Hari ini kedinginan itu...barangkali sudah memuncak...dan menjerit ingin keluar dan mendapatkan cahayanya Matahari. Cahaya itu menunggu...dan itu saya pasti...kerana pasti...cahaya Matahari itu akan tetap muncul walaupun selepas hujan lebat menerjah pagi saya. Mungkin juga ia bukanlah dalam bentuk yang saya saya mampu bayangkan. Mungkin juga ia hanya datang dengan pelangi berwarna-warna indah dan menghiasi langit pada pagi saya. Sekurang-kurangnya pagi saya tetap dihadiahkan dengan pelangi indah.

p/s: Saya sangat merindukan ayah. Ayah yang mengajar tegasnya hati ini untuk teguh pendirian. Ayah jugalah yang mengajar diri ini bertanggungjawab atas diri sendiri. Ayah jugalah yang mengajar saya untuk lebih cekal. Ayah jugalah yang mengajar saya untuk hidup dan bukan hanya belajar seperti robot. Saya bersyukur untuk itu dan saya sangat menyayangi ayah. Saya tahu ayah risaukan kami kerana saya belum bekerja dan mampu menyara adik-adik. Tapi saya tetap akan ingat sampai mati janji saya yang bersulamkan senyuman yang terakhir pada ayah. Senyuman "selamat tinggal" buat ayah dan ayah membalasnya dengan senyuman sehingga ke liang lahad.

p/s: Kadang-kala saya cemburukan sahabat baik saya yang ayahnya masih bersuara di telefon walaupun berjauhan. Dapat mendengar suara adalah perkara yang saya inginkan dan saya mendengarnya...di video hari raya terakhir ayah bersama-sama saya. Suara itu diulang-ulang berkali-kali sehingga saya tak larat nak senyum kepada video yang sama.

p/s: "Ayah! Akak akan jaga mama dengan adik-adik...akak sedang uruskan tempat tinggal dan urusan pelajaran Aiman. Aiman akan jadi anak yang berjaya. Akak akan buat yang termampu. Suhaila...akak ada rancangan untuk dia. Tapi dia harus selesaikan PMRnya. Adik pula..akak akan tunggu dia menyelesaikan UPSRnya. Akak akan usahakan yang terbaik untuk adik-adik. Mama pulak..akak akan hantar dia bersama-sama makngah ke Mekkah. InsyaAllah duit akan cukup untuk tujuan itu. Akak akan usahakannya. Rumah juga akan akak usahakan. Cuma menunggu akak menyelesaikan degree lima tahun lagi...dan semuanya akan jadi baik-baik saja. Bila akak dah janji...akak akan buat melainkan akak meninggal awal. Tapi akak akan ajar Aiman seperti mana yang ayah ajarkan kepada akak supaya Aiman akan menjadi orang yang teguh prinsip, akal panjang, berdikari dan bertanggungjawab sehingga ke akhir hayat. Dia akan mampu menjaga mama dan adik-adik jikalau akak meninggal awal. InsyaAllah, semuanya akan baik-baik saja...akak usaha semaksimum yang boleh...ayah jangan risau...anak ayah ni kuat orangnya. Akak sayang ayah..."




NorashiqinAli
AnakJohor

Search This Blog