from:Mama
21:12:2009
07:38 AM
"SELAMAT HARI JADI KAK LONG.Semoga panjang umur murah rezeki.Dapat jodoh yang baik-baik. Mama sentiasa doakan kesihatan dan kejayaan k.long dan adik-adik.InsyaAllah suatu hari nanti kita akan hidup senang.Jangan lupa sentiasa ingatkan Allah dan bersyukur. I LOVE YOU..."
Jujur,sekali lalu membaca sms dari mama membuatkan saya tertawa sendirian. Mata saya fokus kepada ayat 'dapat jodoh yang baik-baik'. Otak memberikan ulasan yang tersendiri, kata otak "Mama kamu itu mungkin lupa mengenai umur sebenar kamu..." tapi lain pula kata hati, kata hati "Mama kamu itu mendoakan kamu semoga bertemu dengan lelaki yang mampu menjadi imam buatmu...insyaAllah dia juga sedang berdoa untuk menemukan kamu..". Selang beberapa saat,mata saya pula memberi ulasan tanpa kata-kata kerana yang hadir dari bicaranya hanyalah mata yang bergenang dengan air mata. Tidak tahu mengapa mata menimbulkan reaksi sedemikian.Mungkin juga mata hanya bersetuju dengan hati.
Atas dasar ingin meneliti semula sms yang paling bermakna buat saya pada hari tersebut, saya membacanya semula buat kali yang kedua.Mata saya fokus pada ayat penting yang selalu mama ucapkan. "InsyaAllah,suatu hari nanti kita akan hidup senang" , ucapan ini sering menjadi peneman kami pulang dari mengambil mama dari tempat kerjanya.Maklumlah, cuti yang panjang harus saya isi dengan berbakti kepada mama tersayang.Lagi pula, itu saja yang saya mampu untuk setakat ini.Setakat memusingkan stereng dan menekan pedal minyak,ia bukanlah sesuatu yang sukar selagi mana saya masih lagi mempunyai kaki dan tangan.Jujur,setiap kali ada kesempatan,ayat itu jugalah saya ucapkan kepada mama dengan niat supaya dia tidak akan berasa risau tentang masa depan kami.
*Mama,hanya dia yang tinggal.Seorang pendokong setiap jiwa adik-beradik yang berempat. Ayah menunggu entah dimana,insyaAllah kita tetap akan bertemu dan mudah-mudahan ditempat yang paling baik yang telah dijanjikan Allah.
NorashiqinAli
AnakJohor
No comments:
Post a Comment